KEJAYAAN City memastikan kemenangan ke atas Villareal membanggakan kapten, Vincent Kompany dan pengurusnya Roberto Mancini.
Pasukan Blues meraih kemenangan 3-0 selepas menunggu penuh sabar untuk mendapatkan peluang mereka dan kini mereka sedar kemenangan di Napoli akhir bulan ini mencukupi bagi melayakkan mereka ke peringkat seterusnya Liga Juara-Juara.
Dua jaringan Yaya Toure serta penalti dari Mario Balotelli memastikan kemenangan mereka, sedang pada masa sama pasukan tuan rumah gagal mencabar kewibawaan Joe Hart.
“Kami mempamerkan aksi terbaik, melakukan apa yang dirancang. Kami tidak membuat sesuatu yang gila-gila, kami bersabar dan akhirnya mendapat ganjaran,” kata Kompany.
“Gol pertama adalah kunci kejayaan tetapi dalam Liga Juara-Juara ini adalah pertahanan terhebat kami dan penyerang kami begitu cemerlang. Mereka sekali lagi melakukan tugas terbaik hari ini (semalam).Kami menjaringkan gol hampir dalam setiap perlawanan, persefahaman yang hebat di kalangan pemain dan ia sesuatu yang bagus kerana kami boleh menggilirkan ramai pemain dan tidak kehilangan kekuatan pasukan.
“Kami sentiasa terfikir jika melakukan tugas dengan betul, kami akan menjadi sekuat pasukan lain jadi kami tidak perlu bimbangkan pasukan lain. Ia satu kumpulan yang sukar tetapi jika kami lakukan apa yang sepatutnya, kami boleh menang perlawanan itu.
“Perlawanan menentang Napoli tentunya hebat tetapi begitulah caranya nada beraksi dalam Liga Juara-Juara.”
Mancini turut berpuas hati tetapi kini memberi tumpuan kepada satu lagi pertemuan di tempat lawan apabila mereka berkunjung ke QPR dalam saingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.
“Kami mahu bermain sebaik mungkin tetapi setiap perlawanan begitu sukar dan kami akan berdepan perlawanan berikutnya dalam tempoh 60 jam. Kami akan menggantikan beberapa pemain tetapi jika anda mahu bermain di tahap seperti ini, itulah yang berlaku.
Malah pengurus itu masih lagi berasa kesakitan di kepalanya yang dialami selepas beliau melompat pada separuh masa pertama dan terkena bumbung bangku pemain simpanan.
“Kepala saya bengkak, saya terhantuk dengan kuat,” katanya sambil ketawa.
“Saya pernah mengalaminya di sini lima tahun lalu tetapi saya cukup cergas untuk ‘beraksi’ Sabtu ini1”
Sementara itu penyerang City, Sergio Aguero turut tercalon dalam senarai pendek Fifa untuk anugerah Ballon d’Or 2011.
Bintang Argentina itu mempamerkan aksi luar biasa dalam penampilan terawal bersama City dengan 10 gol hasil 12 perlawanan liga dan piala selepas berpindah dari Atletico Madrid.
David Silva pula tercicir daripada senarai 23 calon pemain itu meskipun mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim.
Selain Aguero, pemain yang turut tercalon adalah Eric Abidal (Perancis), Karim Benzema (Perancis), Iker Casillas (Sepanyol), Cristiano Ronaldo (Portugal), Dani Alves (Brazil), Samuel Eto’o (Cameroon), Cesc Fabregas (Sepanyol), Diego Forlan (Uruguay), Andres Iniesta (Sepanyol), Lionel Messi (Argentina), Thomas Muller (Jerman), Nani (Portugal), Neymar (Brazil), Mesut Ozil (Jerman), Gerard Pique (Sepanyol), Wayne Rooney (England), Bastian Schweinsteiger (Jerman), Wesley Sneijder (Belanda), Luis Suarez (Uruguay), David Villa (Sepanyol), Xabi Alonso (Sepanyol) dan Xavi (Sepanyol).
Hanya tiga bakal terpilih pada 5 Disember ini dan pemenang akan diumumkan di Zurich pada 9 Januari depan.
No comments:
Post a Comment